Isnin, 15 Jun 2009

KHADAM AYAT

SOALAN:
Datuk saya adalah seorang pawang yang banyak menolong penduduk tempatan ketika sakit, dengan cara memberi tangkal dan azimat ketika ibu hendak bersalin, juga menjadi imam ketika kenduri-kendara seperti yang masih banyak dilakukan sekarang ini.
Saya mewarisi ilmu datuk saya ini dan di antara amalan yang saya lakukan ialah hasil daripada menuntut ilmu yang dinamakan ``khadam ayat''. Saya dapati amalan ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Ia begitu mujarab dan hasil daripadanya saya dapat mengatasi banyak masalah yang sukar. Saya inginkan kepastian adakah amalan dan tuntutan saya itu benar, tidak menyalahi syarak? - Cucu Tok, Seremban

JAWAPAN:
Istilah ``khadam ayat'' ini boleh dikatakan popular di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Pada hakikatnya istilah khadam ayat ini dirujuk kepada amalan berguru atau menuntut ilmu dengan membaca ayat-ayat tertentu al-Quran yang disertai dengan kaedah-kaedah khusus, di mana akhirnya orang yang berkenaan didatangi oleh makhluk yang dipanggil sebagai ``khadam ayat''.
Amalan ini juga ada kalanya boleh dituntut tanpa melibatkan ayat-ayat al-Quran, surah-surah pendek al-Quran seperti Al-Fatihah, al-Mu'awwizat dan sebagainya, tetapi akhirnya amalan kebatinan yang dituntut itu akan berakhir dengan kehadiran makhluk yang dipanggil sebagai ``khadam ayat''.
Mereka yang mempelajari ilmu ini kebanyakannya tidak pasti siapakah yang dinamakan ``khadam ayat'' yang datang tadi, yang akhirnya terlibat dengan pelbagai kegiatan amalan kebatinan, ketika melakukan rawatan, tilikan, untuk mengatasi masalah rumah tangga, cinta dan sebagainya.
Menurut seorang responden, khadam ayat bukan terdiri daripada golongan manusia, jin atau malaikat. Ia merupakan ``khadam'' kepada ayat yang dibaca dan diamalkan menurut kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti menurut apa yang telah diajar oleh guru yang berkenaan.
Terdapat keterangan dalam hadis-hadis tentang kelebihan ayat al-Kursi. Menurut sebuah hadis riwayat daripada Qatadah katanya, Rasulullah bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya. Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi dan akhir surah al-Baqarah ketika kesusahan nescaya Allah menolongnya.
Terdapat banyak hadis menerangkan tentang kelebihan ayat ini dalam tujuan mengelakkan diri, keluarga, rumah tangga, harta benda daripada gangguan iblis dan syaitan juga daripada gangguan manusia, terutamanya pencuri. antara hadis yang menyebutkan hal yang demikian ialah, hadis daripada Abu Hurairah. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran, tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan, kecuali ia keluar darinya iaitu ayat al-Kursi.
Atas pemahaman tentang fadilat ayat al-Kursi inilah maka ada golongan tertentu, terdiri daripada mereka yang mengamalkan amalan kebatinan, mengamalkan apa yang difahami sebagai ``khadam ayat Kursi'' dalam amalan kebatinannya.
Setelah membaca ayat al-Kursi dalam kekerapan dan tempoh tertentu dengan syarat-syarat lain, dia akan didatangi oleh makhluk yang dipercayai sebagai ``khadam ayat al-Kursi''. Ia datang dengan jubah hijau, menghulurkan tangan, bertanyakan apa yang dihajati oleh pengamal. Dipesan oleh guru yang mengajari amalan tersebut agar makhluk itu taat menurut perintahnya.
Menurut responden lagi, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya, juga boleh digunakan untuk tujuan mengubati penyakit. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang lain.
Ketika pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah di mana dalam keadaan tertentu ia akan menjelmakan diri menyerupai pengamal ilmu berkenaan, khadam itu dikatakan hanya digunakan untuk menangani sakit yang teruk ataupun masalah-masalah besar.
Memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau yang tajam, yang hanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar lagi berat, walaupun demikian ia juga boleh digunakan untuk tujuan jahat, kerana khadam ayat begitu taat menurut kata pengamalnya.
Kerana itu maka orang yang mengamalkan kaedah ini mesti terdiri daripada mereka yang ikhlas lagi berilmu, ditakuti ilmu yang dimiliki itu disalahgunakan, yang akhirnya akan merosakkan diri sendiri dan orang lain.
Seorang responden lain, yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional lebih daripada 25 tahun, menyatakan khadam ayat kadang-kadang datang kepadanya dalam keadaan berkain pelekat dan berbaju selengkapnya. Selain memberitahu perkara-perkara ghaib kepadanya, ia kadang-kadang memberitahu maklumat-maklumat tertentu melalui anaknya, yang berumur 10 tahun, yang ketika itu sedang tidur.
Seorang pengamal rawatan tradisional yang tinggal di Perlis menegaskan orang yang menurun diresapi oleh jin-jin, termasuk iblis dan syaitan, tetapi khadam tidak boleh masuk meresap dalam tubuh manusia. Ketika menurun, jin-jin datang bersatu dengan roh yang disedut melalui pernafasan meresap dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.
Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih menguasai angin badan dalam tubuh maka ia akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri iaitu menurun. Hal yang sama berlaku ke atas mereka yang terkena rasukan.
Menurut pemahaman Melayu, khadam bererti hamba, ataupun orang suruhan yang sentiasa taat kepada tuannya. Menurut responden yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan orang suruhan, seperti yang difahami oleh umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan orang suruhannya.
Khadam adalah makhluk bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan jin, sama ada jin kafir ataupun jin Islam. Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada makhluk halus belaan atau sahabat, kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka dalam keadaan apa sekalipun sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau sebagainya.
Menurut responden yang sama, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah yang termasuk dalam golongan makhluk ghaib. Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali, yang dikenali sebagai rijalul ghaib, yang juga dikenali sebagai khadam roh.
Khadam bukan jin Islam, terdiri daripada wali Allah. Makhluk yang tidak berdosa yang asalnya adalah manusia yang ghaib begitu sahaja apabila mati dan tidak mempunyai kubur. Responden mendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah yang tidak boleh dikaji.
Dijelaskan juga bahawa makhluk yang dinamakan khadam itu telah wujud sejak zaman Rasulullah, begitu juga lelaki yang tersebut dalam surah al-Kahf, termasuk anjing Qitmir yang termasuk dalam golongan rijalul ghaib.
Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu, yang dibaca selepas setiap kali sembahyang fardu selama 40 hari. Doa-doa tersebut dikenali sebagai kepala doa akasyah, doa akasyah, pelapik doa akasyah dan doa rijalul ghaib.
Tidak lama setelah mengamalkan ayat-ayat di atas, dia bermimpi melihat bulan pada malam berikutnya, dia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah. Mimpi ini diikuti oleh mimpi-mimpi lain yang tidak pernah dialami sebelumnya. Bermula dari hari itu dia sering didampingi oleh khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan lain-lainnya.
Ketika melakukan rawatan, ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang datang memerlukan pertolongannya, responden berkenaan akan memanggil khadam yang mendampinginya tadi. Perkataan tok syeikh digunakan untuk merujuk kepadanya.
Untuk tujuan rawatan, mula-mula responden akan bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian dia memanggil tok syeikh untuk meminta pertolongan.
Khadam berkenaan dikatakan dapat mengetahui sama ada sakit yang dialami oleh seseorang itu akibat saka, santau, gangguan makhluk halus tidak bertuan ataupun sakit kecacatan fizikal yang berpunca daripada kemalangan, keracunan makanan dan sebagainya.
Demikianlah beberapa keterangan mengenai khadam ayat seperti yang saudara tanyakan. Sebenarnya banyak lagi keterangan yang berlainan berkaitan dengan apa yang difahami sebagai khadam ayat dalam kehidupan orang Melayu.
Allah menjadikan tiga jenis makhluk utama, iaitu malaikat, jin dan manusia. Tidak tersebut daripada mana-mana sumber tentang adanya makhluk selain daripada tiga jenis makhluk ini. Ketika ditanya tentang makhluk berjubah hijau yang datang menghulurkan tangan, responden memberitahu bahawa hal tersebut berlaku ketika dalam keadaan sedar, bukan ketika dia nyenyak tidur atau dalam keadaan separuh sedar.
Responden yang sama menyatakan bahawa khadam ayat boleh disuruh menjaga diri, keluarga, harta benda dan lain-lain tujuan. Apa yang kurang digemari oleh responden, pada mulanya ialah makhluk ini terlalu kerap menjelmakan diri menyerupai dirinya menyebabkan isterinya takut. Hal demikian sama berlaku seperti yang diakui oleh responden yang membela jin, yang dinamakan sebagai hantu raya.
Tidak adanya perjanjian antara orang yang mempunyai khadam ayat dengan makhluk yang menjelma itu bukan merupakan hujah kuat membuktikan makhluk ini sebenarnya khadam ayat, bukan jin.
Responden kedua yang bersahabat dengan rijalul ghaib mendakwa bahawa dia juga tidak ada membuat perjanjian. Apa yang dilakukan ialah membaca Al-Fatihah sebanyak tiga kali yang disedekahkan kepada rijalul ghaib sebelum dia memanggilnya datang. Makhluk ini amat suka disedekahkan dengan Al-Fatihah.
Tidak kira apa alasan yang diberi sama ada kerana makhluk itu memang taat, seperti yang diminta oleh orang yang terlibat pada mula ia menjelmakan diri atau lain-lain alasan, sifat taat untuk melakukan kejahatan tetap tidak boleh dijadikan hujah membuktikan bahawa makhluk tersebut adalah khadam ayat, bukan jin yang terdiri daripada iblis atau syaitan.
Umar Sulaiman (1985:59-60) menyatakan bahawa syaitan tidak semestinya datang menipu manusia menyuruh manusia meninggalkan perkara-perkara yang baik dan menyuruh melakukan perbuatan jahat. Sekiranya ia berbuat demikian manusia akan menyedari bahawa perbuatan tersebut adalah daripada syaitan.
Sebaliknya, makhluk itu akan melakukan pelbagai helah untuk mengelirukan, mengelakkan dirinya daripada diketahui siapakah dirinya yang sebenar menyebabkan manusia beranggapan bahawa syaitan itu adalah wali Allah lalu menganggap perbuatan yang salah itu baik.
Menurut Umar Sulaiman (1985:87) lagi, pengulas at-Tahawiyah menyebutkan tentang adanya golongan syaitan yang dipanggil oleh manusia sebagai rijalul ghaib. Ada orang yang pernah bercakap dengannya dan menghasilkan sesuatu yang luar biasa, sehingga mereka menyangka bahawa makhluk tersebut adalah wali-wali Allah.
Mereka pada hakikatnya adalah teman-teman kaum musyrikin daripada golongan jin. Mereka dinamakan ``rijal'' seperti yang tersebut dalam firman Allah (al-Jinn: 6): Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki (rijal) di antara jin, maka jin-jin itu menambah lagi mereka dosa dan kesalahan.

Penulis : Datuk Dr. Amran Kasimin
Penerbitan asal: Mingguan Malaysia 4 September 2005

PENGALAMAN DIRAWAT

Oleh kerana mencari penyembuhan dari Allah s.w.t.Pesakit ikhtiar mendapatkan rawatan dengan seorang perawat di Petaling Jaya.Setelah diruqyah,pesakit ketawakan perawat.Perawat tersebut terus meruqyah dan sepanjang ruqyah tersebut,pesakit itu ketawa.Setelah selesai sesi ruqyah,perawat bertanyakan pesakit.Pesakit menyatakan ada gelombang dibahagian dada.
Perawat menggunakan cuka makan dan disapu ke tempat tersebut sambil dibacakan ruqyah.Pesakit mula meronta-ronta.dan tiba-tiba keluar suara yang garau sambil mengilai dan tangan pesakit secara sendiri seperti ingin mencengkam.Kemungkinan gangguan saka harimau.Allahu a'lam.Sesi berhenti dsini kerana pesakit terpaksa masuk kerja.sesi rawatn dijalankan ketika waktu lunch hour.

Ahad, 14 Jun 2009

Tips 1

LIMAU PURUT

Amalkan mandi air Limau purut 3 biji selepas asar berturut sebagai bilasan terakhir.Amalkan juga gunakan perahan limau tersebut ke kepala sekiranya mengalami pening-pening.Limau purut juga dapat digunakan untuk memadamkan calitan minyak sihir dsb.


APA ITU SAKA?

SAKA adalah masalah gangguan makhluk halus yang kerap ditemui pengamal perubatan Islam, selain sihir dan santau malah berbanding sihir dan santau, saka paling sukar dan memakan masa untuk diubati; lebih lama seseorang itu berdampingan dengan saka, lebih sukar untuk membuangnya.”
Antara kesan buruk ialah pewaris akan menghadapi seksaan amat perit ketika hendak mati kerana roh sukar keluar
Ia bermula dengan upacara yang jelas bertentangan dengan syariat serta menghina Islam antaranya seseorang itu akan memuja kubur atau tengkorak, meminum darah, membaca surah suci secara terbalik atau memijak al-Quran terlebih dulu.
Semua upacara itu dilakukan berserta jampi mantera bertujuan menyeru kehadiran syaitan. Seterusnya selepas berjaya menyeru kehadiran jin atau syaitan, perjanjian berserta syarat dan pantang larang akan dimeterai antara manusia dengan makhluk ghaib berkenaan.
Itulah proses permulaan bagi mendapatkan saka dan rentetan daripada perjanjian itu, syaitan akan sentiasa mendampingi tuannya sehingga manusia terbabit boleh menggunakan kebolehan makhluk halus itu untuk kepentingan dirinya.Pengamal Perubatan Islam Darussyifa’ di Bangi, Selangor, Mohd Fauzi Mustaffa, berkata saka adalah antara perbuatan ‘ilmu hitam’ yang sudah lama wujud dan diamalkan individu tertentu di dunia ini termasuk di Malaysia.
Beliau berkata, kebiasaannya manusia terbabit menggunakan bantuan jin untuk pelbagai kepentingan seperti ingin menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan harta; menjadi kuat, berharta, disayangi atau digeruni ramai pihak selain mahukan makhluk ghaib itu membantunya bekerja di ladang atau lautan.
“Pada mulanya memang saka ini kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya contohnya untuk melindungi diri, keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu helah saka bagi menyesatkan manusia.
“Pelbagai kesan buruk dan masalah akan timbul pada masa panjang dan kemuncaknya menyebabkan manusia itu melakukan dosa besar iaitu syirik kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, antara kesan buruk memelihara saka adalah pemiliknya akan menghadapi seksaan yang amat perit ketika hendak mati kerana roh mereka sukar untuk keluar daripada jasad menyebabkan mereka terseksa sehingga menemui ajal.
Katanya, situasi lebih dahsyat berlaku apabila ada kes di mana pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.
Keadaan itu menyebabkan saka berkenaan ‘menumpang’ pada jasad tuannya sehingga pemilik saka itu kelihatan seolah-olah masih hidup dan bergerak walaupun dia sebenarnya sudah meninggal dunia.
Lebih membimbangkan adalah jin yang menjadi saka juga boleh mencemari maruah keluarga pemiliknya dengan mengadakan hubungan kelamin bersama isteri atau anak perempuan tuannya. Gangguan saka juga menyebabkan seseorang mengalami penyakit misteri yang amat menyeksakan.
Mohd Fauzi berkata, syaitan sememangnya gembira apabila ada manusia yang menyeru untuk berdamping dengan mereka kerana mereka mahu menyesatkan manusia seperti firman Allah menerusi surah al-Hijr, ayat ke-39: “Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (manusia) memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
Beliau berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi pemilik saka adalah jin berkenaan perlu diwariskan kepada individu lain apabila pemiliknya hampir menemui ajal selain pemilik perlu menjamu saka peliharaannya dengan darah, kemenyan atau sebagainya.
Katanya, saka adalah masalah gangguan makhluk halus yang kerap ditemui pengamal perubatan Islam, selain sihir dan santau malah berbanding sihir dan santau, saka paling sukar dan memakan masa untuk diubati; lebih lama seseorang itu berdampingan dengan saka, lebih sukar untuk membuangnya.
Masalah gangguan saka semakin menjadi-jadi apabila pemilik berkenaan meninggal dunia tanpa sempat mewariskan saka berkenaan menyebabkan jin berkenaan akan merewang serta mengganggu dan menyakiti ahli keluarga dan orang lain.
“Sesetengah anak yang mewarisi saka pula tidak mengetahui apakah syarat dan pantang larang ketika perjanjian dimeterai menyebabkan mereka tidak menunaikan perjanjian itu seperti tidak menyediakan makanan kepada jin terbabit menyebabkan makhluk itu akan mengganggu dan menyakiti mereka kerana marah,” katanya.
Mohd Fauzi berkata, hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram dalam Islam seperti firman-Nya: “Dan hari (kiamat) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): ‘Wahai golongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu banyak (menyesatkan) manusia’, lalu berkatalah sahabat mereka dari golongan manusia: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian kami sudah mendapat kesenangan dari sebahagian yang lain (jin) dan kami sampai kepada masa yang Engkau tentukan bagi kami (hari pengadilan)’.
“Allah berfirman: ‘Neraka itulah tempat diam kamu sedang kamu kekal didalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)’. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui,” (surah al-An’aam: 128).
Sehubungan itu, ahli keluarga lain atau sesiapa saja dilarang menerima warisan saka daripada pemilik asal dan bagi mereka yang sudah menerima, perlu diusaha untuk memutuskan hubungan dengan makhluk terbabit.
“Untuk merawat atau membuang saka pula, pesakit perlu dirujuk kepada pengamal perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah serta mengelak daripada berjumpa bomoh atau pengamal perubatan yang berasaskan jin,” katanya.
Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Dr Jahid Sidek, berkata bagi mengubati manusia yang diganggu saka, rawatan perlu dilakukan daripada ‘atas ke bawah’ iaitu menyembuhkan datuk atau bapa terlebih dulu kerana tanpa berbuat demikian, gangguan itu berterusan kerana puncanya berada ‘di atas’.
“Contohnya seorang pesakit saya iaitu kanak-kanak mengalami sakit pelik dan gatal seluruh badan; apabila berjumpa dengan doktor dan diberi ubat, gatal itu semakin merebak. Apabila dibawa berjumpa saya, saya dapati jin yang menyebabkan sakit kepada si anak berada di tubuh bapanya.
“Walaupun yang sakit adalah anak dan bapa pula sihat seperti biasa, rawatan perlu dilakukan terhadap bapa dan selepas dirawat, alhamdulillah si anak turut sembuh,” katanya yang menjalankan rawatan di pusat perubatannya di Batu 7, Kuang, Selangor.
Beliau yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, berkata selain memberi kelebihan kepada tuannya, saka juga menjaga harta dan barang pemiliknya menyebabkan gangguan boleh berlaku jika barang pemilik saka dimiliki orang lain.
“Itulah sebabnya jika ingin mengubati kes gangguan saka, barang pemilik saka perlu dibuang terlebih dulu; kadang-kadang timbul masalah apabila barang itu dijual kepada orang lain yang tidak mengetahui menyebabkan orang itu diganggu saka berkenaan,” katanya.
FAKTA: Saka
# Syaitan adalah jin yang kafir dan ketua syaitan adalah Iblis.
# Kaedah mengubati gangguan atau membuang saka harus dirujuk kepada pengamal perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Mengubati sihir dengan menggunakan sihir (nushrah) seperti mengunjungi pengamal perubatan yang menggunakan jin untuk mengubati gangguan makhluk halus adalah haram.
# Saka yang dipelihara wanita digelar ‘pelesit’ dalam budaya Melayu manakala yang dipelihara lelaki digelar ‘hantu raya’. Hantu raya terdiri daripada jin berjenis Ifrit (golongan jahat).
# Antara kaedah memperkuatkan pertahanan diri bagi menghadapi gangguan saka dan makhluk halus adalah mengamalkan bacaan ayat kursi, membaca doa menghalau syaitan (al-Mukminum: ayat 97 dan 98), sentiasa membaca al-Quran dan ta’awwuz selain kuat beribadat kerana syaitan akan berasa panas apabila berhadapan dengan mereka yang mengamalkan kaedah berkenaan.
# Jin yang tidak begitu kuat boleh ditangani dengan garam dan cuka.
# Dalam kebanyakan kes, antara barang tuannya yang dijaga saka tetapi dijual kepada orang lain termasuklah barang antik dan bersejarah malah ada juga hiasan berupa tulisan ayat al-Quran.
Antara jenis saka
# Saka harimau: Menyebabkan pemiliknya ditakuti manusia lain lebih-lebih lagi musuh.
# Saka buaya: Mampu mengawal dan menjinakkan buaya.
# Saka ular: Mampu mengawal dan menjinakkan ular.
# Saka bomoh: Menjadikan pemilik kononnya mampu mengubati pesakit gangguan makhluk halus. Sebenarnya, jin peliharaan bomoh terbabit berlawan dengan jin yang mengganggu pesakit dan jika jin bomoh menang, jin yang mengganggu pesakit akan beredar dan pesakit kelihatan sembuh.
# Saka kuat atau saka penimbul: Menjadikan pemiliknya kuat sehingga mampu mengangkat barang yang amat berat atau menjadi kebal. Menggunakan jin berjenis angin.
# Saka susuk: Menjadikan pemiliknya kelihatan cantik.
# Toyol: Jin dipelihara untuk mencuri wang manusia lain secara ghaib.
Sumber : Angkara Saka Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my